Wednesday 2 August 2017

DAUN BELALAI GAJAH

Pokok Belalai Gajah
Daun belalai gajah

Tahukah anda?
 Daun belalai gajah mempunyai khasiat yang dipercayai boleh membantu orang yang menghidap penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan kolestrol. Selain daripada itu, khasiat yang terkandung dalam daun belalai gajah juga dipercayai boleh mengurangkan dan menyembuhkan kanser. Daun belalai gajah juga dipercayai mengandungi anti oksidan yang tinggi untuk mengatasi sel-sel kanser dan mengekalkan sel-sel sihat dalam tubuh badan manusia. Anda mungkin tidak mengetahui tumbuhan yang selamanya ini ditanam di kawasan rumah yang hanya sekadar sebagai tanaman hiasan sebenarnya tumbuhan yang mengandungi pelbagai khasiat yang boleh membantu orang yang mempunyai masalah kesihatan. Daun belalai gajah dikenali sebagai Sabah Snake Grass(SSG). Selain daripada itu, tumbuhan ini turut dikenali sebagai You Dun Chao atau Clinacanthus Nutans. Tumbuhan yang dipercayai mengandungi pelbagai khasiat ini tergolong dalam keluarga Acanthaceae.




Tuesday 1 August 2017

B A D U


BADU merupakan salah satu baju yang dipakai oleh kaum lelaki Suku Kaum Momogun Rungus. Suku Kaum Rungus adalah etnik Momogun yang ada di daerah Kudat, daerah Kota Marudu dan daerah Pitas, Sabah.

Rupa Badu dari hadapan

Rupa Badu dari belakang

BADU mempunyai bermacam bentuk corak yang mempunyai maksud ataupun kepercayaan. Antaranya corak yang terdapat pada badu ialah corak berbentuk orang, bentuk semangat atau hantu. Badu juga diterapkan corak berbentuk binatang seperti cicak atau biawak, katak dan ular. Selain itu, badu juga diterapkan corak geometri seperti piramid, tangga dan tunggul. Tidak ketinggalan corak yang bersumberkan tumbuhan seperti bunga, rotan dan rebung. Malahan juga corak tersebut seolah-olah menggambarkan upacara penyembahan berhala. Warna tradisi Suku Kaum Rungus ialah warna hitam, merah, kuning dan putih. 


Prose tenunan Badu

Proses tenunan Badu

BADU ditenun secara tradisional dan ianya merupakan hasil tenunan tangan. Tenunan Rungus dikenali sebagai 'mangavol' yang menunjukkan ketinggian nilai tradisinya berdasarkan teknik pembuatan dan hiasan corak yang dihasilkan. Badu ditenun menggunakan benang kapas ataupun lebih dikenali sebagai kapok oleh penduduk setempat. 'Babaal' disebut dalam bahasa Rungus yang bermaksud kek sandang belakang (back strap loom) adalah alat tenunan yang digunakan untuk menenun Badu. Untuk menghasilkan benang yang diperbuat daripada kapas memakan masa sebulan hingga ke dua bulan. Badu boleh disiapkan dengan sempurna sekurang-kurangnya dalam masa tiga bulan. Ianya tidak dihasilkan dengan banyak jahitan. Hanya terdapat jahitan penyambungan pada bahagian bahu lengan. Manakala sulaman tradisi diperbuat menggunakan benang kasar dan pembuatan badu boleh mengikut saiz yang dikehendaki.


Proses tenunan Badu

Proses tenunan Badu

BADU dipakai semasa 'magahau' dan hanya boleh dipakai oleh orang yang sudah berusia menurut kepercayaan kuno pada suatu ketika dahulu. 'Magahau' yang bermaksud upacara penyembahan Berhala. Namun pada masa kini, biasanya pakaian ini dipakai pada masa-masa keramaian, perkahwinan dan menyambut tetamu dalam suatu keraian khas. Badu boleh dipakai oleh setiap lapisan Suku Kaum Momogun Rungus yang mampu memilikinya pada nilai kos disebabkan harganya yang agak tinggi. 




Saturday 15 July 2017

Si Ubi Kayu

UBI KAYU merupakan sejenis tumbuhan tropika dan subtropika. Nama botaninya ialah Manihot Esculenta Crantz. Isi ubi kayu diperoleh pada akarnya. Isinya merupakan sumber utama karbohidrat dan daunnya merupakan sejenis sayuran. Tumbuhan ini ditanam menggunakan keratan batangnya.



Ubi kayu ditanam menggunakan keratan batangnya yang dicucuk ke dalam tanah secara lurus ataupun menyendeng. Akan tetapi batangnya hendaklah dicucuk ke dalam tanah sebelah pangkalnya. Ubi kayu merupakan sejenis tanaman yang mudah tumbuh tanpa perlu jagaan yang rapi. Bahagian keratan batang ubi kayu yang masuk ke dalam tanah akan menghasilkan akar dan kemudiannya akan menghasilkan isi ubi kayu. Ubi kayu sudah boleh mula dituai antara sembilan sehingga ke dua belas bulan.


Isi ubi kayu boleh menghasilkan beberapa produk makanan. Contohnya Kerepek Ubi Kayu yang dihasilkan dengan cara ubi kayu dibuang kulitnya dan dihiris nipis kemudiannya digoreng. Boleh dihidang begitu saja ataupun digalut dengan sos yang telah dimasak mengikut citarasa masing-masing. Isi ubi kayu juga boleh menghasilkan makanan lain seperti Tapai Ubi Kayu, Bingka Ubi Kayu, Kuih Talam Ubi Kayu, isi ubi kayu tersebut direbus dan sebagainya. Isi ubi kayu yang direbus boleh dimakan dengan gula, gula apong ataupun gula Melaka. Manakala daun pucuk muda ubi kayu boleh dijadikan sebagai ulam ataupun sayur. Kelebihan menjadikan ubi kayu dan pucuk daun ubi kayu sebagai pemakanan dikatakan boleh mengekalkan kesihatan dan mengurangkan risiko kepada beberapa penyakit kerana ianya mengandungi kalor, serat diet, manganese, potassium, vitamin B6, vitamin C, protein, lemak, kalsium, fosforus, zat besi dan karbohidrat.


Gambar dibawah adalah antara makanan yang dihasilkan daripada ubi kayu 

                           














Wednesday 12 July 2017


BIDAR LUKUT

Rupa bentuk Bidar Lukut
Bidar Lukut merupakan permainan tradisional asalnya daripada hobi yang dimainkan oleh Suku Kaum Melanau sejak 40 tahun yang lalu yang popular di Mukah, Sarawak. Bidar Lukut lebih dikenali dengan sebutan Bider Lukut dalam bahasa Melanau. Bidar merupakan replika perahu bidar sebenar yang digunakan dalam sukan air regatta. Ianya diperbuat daripada kayu ringan berukuran kira-kira satu meter panjang 19 sentimeter(sm) lebar dan lapan sentimeter(sm) tinggi dikenakan dengan daun lukut yang telah dikeringkan berfungsi sebagai layar bagi menangkap angin untuk bergerak.


Landasan Lubak Salui Bider Lukut
Permainan Bidar Lukut atau digelar Suku Kaum Melanau Lubak Salui Bider Lukut yang bermaksud Lumba Perahu Bidar Lukut dimainkan di sungai kecil dengan membina landasan yang diperbuat daripada bekas-bekas botol plastik kosong yang disambungkan menggunakan tali. Landasan juga boleh diperbuat daripada batang buluh yang disusun memanjang. Landasan dibina berfungsi sebagai laluan untuk menghalang supaya Bidar tidak berlanggar antara satu sama lain. Akan tetapi Bidar Lukut tidak boleh dimainkan ketika arus air sangat deras walaupun ada angin.


Popularnya permainan Bidar Lukut pada masa kini dikalangan masyarakat Suku Kaum Melanau di Mukah, Sarawak menjadikan tarikan pelancong untuk berkunjung di daerah ini. Selain daripada mengisi masa lapang, ianya turut menjadi acara utama semasa keramaian contohnya Pesta Kaul Mukah dan sebagainya.
Acara Lubak Salui Bider Lukut